Tuesday, November 23, 2010

PENGENALAN

Isipadu cecair merupakan salah satu tajuk yang terdapat di dalam Sukatan Pelajaran Matematik Tahun 2. Tajuk ini merupakan tajuk kesepuluh daripada 12 tajuk yang terdapat di dalam sukatan pelajaran. Tajuk ini mempunyai dua bidang pembelajaran utama, iaitu pengenalan kepada isipadu cecair dan mengukur dan membandingkan isipadu cecair. Bagi bidang pembelajaran pengenalan kepada isipadu cecair, murid perlu memahami dan menggunakan kosa kata yang berkaitan dengan isipadu cecair. Terdapat dua objektif pembelajaran bagi bidang pembelajaran kedua pula, iaitu mengukur dan membandingkan isipadu cecair melalui perbandingan secara langsung dan menggunakan unit tidak standard dan mengukur dan membandingkan isipadu cecair menggunakan unit yang standard.

Penggunaan unit ukuran adalah penting dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tajuk isipadu cecair seharusnya disampaikan melalui cara yang paling mudah untuk difahami oleh murid-murid. Murid-murid seringkali beranggapan bahawa bekas yang tinggi dapat menampung kapasiti air dengan banyak berbanding bekas yang lebih rendah. Bagi menangani masalah ini, guru perlu menekankan konsep kapasiti isipadu cecair sewaktu menjalankan pengajaran. Aktiviti pengajaran perlu dirancang sebaik mungkin supaya salah konsep ini dapat dielakkan. Penglibatan aktif murid dalam bentuk aktiviti fizikal adalah penting bagi membolehkan murid-murid memahaminya. Penggunaan bahan bantu mengajar juga perlu disesuaikan mengikut tahap pembelajaran murid-murid supaya mereka dapat memahami bahawa bekas yang tinggi tidak semestinya dapat menampung kapasiti air dengan banyak atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment